Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu merupakan antara destinasi ekopelancongan di Sabah yang menawarkan pengalaman luar biasa. Resort ini terletak betul-betul di tengah Tabin Wildlife Reserve!
Jika anda ingin meneroka keunikan biodiversiti hutan hujan tropika, melihat hidupan liar eksotik, serta menikmati ketenangan jauh dari hiruk-pikuk kota, inilah tempatnya.
Resort ini menawarkan peluang untuk berada dekat dengan alam sambil menikmati kemudahan moden.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu.
BACA JUGA: 20 Tempat Menarik di Kudat, Sabah & Penginapan
Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu

Tabin Wildlife Resort ialah satu-satunya penginapan eksklusif yang terletak di dalam Tabin Wildlife Reserve. Ia telah mula beroperasi sejak tahun 1984 sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar di Sabah.
Resort ini dibina untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri keindahan flora dan fauna Borneo, termasuk spesies terancam seperti Gajah Pygmy Borneo, Orang Utan dan Banteng.

Terdapat 20 chalet kayu berkonsepkan hutan (10 River Chalets & 10 Hill Chalets) yang selesa ditawarkan di sini.
Setiap chalet lengkap dengan kemudahan moden seperti bilik air persendirian, kipas siling pancuran air panas, balkoni peribadi yang menghadap sungai atau hutan dan macam-macam lagi.
Pendek kata, anda tidak perlu risau mengenai kemudahan kalau menginap di sini. Walaupun tak selengkap penginapan di kawasan bandar, tapi kemudahan asasnya memang tiptop!

NOTA: Tabin Wildlife Reserve adalah kawasan perlindungan hidupan liar terbesar di Malaysia dengan keluasan lebih 122,500 hektar. Jadi memang banyak spesies hidupan liar yang anda boleh jumpa di sini.
Waktu Terbaik Disyorkan Menginap
Tabin Wildlife Resort beroperasi sepanjang tahun, namun musim terbaik untuk melawat dan menginap di sini adalah semasa musim kering antara bulan Mac hingga September/Oktober.
Pada tempoh ini, cuaca biasanya lebih cerah dan kurang hujan. Jadi, laluan hutan lebih mudah dilalui serta peluang untuk melihat hidupan liar lebih tinggi kerana haiwan lebih aktif dan mudah ditemui di kawasan terbuka.
Selain itu, aktiviti seperti jungle trekking, safari malam, dan lawatan ke mud volcano juga boleh dilakukan kerana keadaan trek yang tidak licin dan risiko hujan lebat adalah rendah.
Lokasi & Cara Ke Sana
Untuk ke Tabin Wildlife Resort, anda boleh menaiki penerbangan domestik dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Lahad Datu (LDU).
Dari lapangan terbang, perjalanan ke resort mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit perjalanan merentasi jalan berturap sebelum memasuki laluan berbatu menuju ke kawasan hutan simpan Tabin.
Alternatif lain, anda boleh menaiki bas dari bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Semporna atau Tawau untuk ke Lahad Datu.
Kemudian, teruskan perjalanan dengan kereta sewa atau pakej pelancongan yang disediakan oleh pihak resort.

Pakej Ditawarkan
Tabin Wildlife Resort menawarkan beberapa pakej pelancongan untuk pengunjung menikmati pengalaman penuh dengan aktiviti ekopelancongan dan pengembaraan di hutan hujan Borneo.
Antaranya:
1. Pakej 2 Hari 1 Malam (2D1N) Tabin Wildlife Safari (RM2250.00)
Pakej ini sesuai untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman singkat namun padat di Tabin Wildlife Reserve.
Dengan harga sekitar RM2250, anda akan dibawa menyusuri hutan untuk melihat hidupan liar termasuk peluang melihat Borneo Big 5 seperti Gajah Pygmy dan Orang Utan.
2. Pakej 3 Hari 2 Malam (3D2N) Tabin Wildlife Safari (RM3200.00)
Ini adalah pakej paling popular bagi mereka yang ingin lebih masa meneroka keindahan dan biodiversiti Tabin.
Dengan harga sekitar RM3200, anda akan menikmati penginapan dua malam di resort, pelbagai aktiviti trekking, lawatan ke air terjun Lipad, birdwatching dan safari malam.
Pakej ini juga merangkumi pengangkutan dari dan ke Lahad Datu, makan minum penuh serta pemandu berpengalaman yang akan membimbing sepanjang pengembaraan.
3. Pakej 3 Hari 2 Malam Birding @ Tabin (RM4000.00)
Bagi peminat burung, pakej ini menawarkan pengalaman birdwatching eksklusif dengan peluang melihat lebih 300 spesies burung, termasuk spesies endemik Borneo.
Harga pakej ini adalah sekitar RM4000 dan sesuai untuk pengunjung yang minat mendalam dalam aktiviti pemerhatian burung dengan bimbingan pakar.
4. Pakej 4 Hari 3 Malam Tabin Wildlife Reserve Tour
Pakej ini memberikan pengalaman lebih mendalam dengan aktiviti harian yang seimbang antara trekking, lawatan ke Lipad Mud Volcano, mandi di air terjun Lipad, dan aktiviti santai seperti Tabin Rainforest Foot Soak.
Penginapan di chalet kayu dengan balkoni peribadi dan pancuran air panas menambah keselesaan sepanjang penginapan. Pakej ini sesuai untuk mereka yang ingin menikmati alam semula jadi dengan lebih santai dan mendalam.
–
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah cara menempahnya, anda boleh rujuk: https://tabinwildlife.com.my/booking/packages/
Apa Yang Menarik Di Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu?
1. Lipad Mud Volcano
Salah satu tarikan paling unik di Tabin Wildlife Resort, Lahad Datu ialah Lipad Mud Volcano.
Lipad Mud Volcano adalah salah satu gunung berapi lumpur yang kaya dengan mineral di kawasan ini. Ia sering menjadi tumpuan haiwan liar dan burung yang datang untuk mendapatkan mineral penting (salt lick). Anda boleh melihat pelbagai jejak haiwan di sekitar kawasan ini.

Pengunjung juga digalakkan untuk menyapu lumpur di kawasan ini ke kulit kerana ia mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan kulit!
2. Jungle Trekking
Aktiviti jungle trekking di Tabin juga antara tarikan sangat popular di sini. Laluannya kaya dengan pelbagai jenis flora serta fauna eksotik.
Sepanjang perjalanan, anda boleh melihat jejak haiwan, burung-burung, rama-rama berwarna-warni dan tumbuhan yang jarang dijumpai.
3. Night Safari
Night safari membolehkan anda melihat sendiri haiwan nokturnal seperti musang, kucing hutan, burung hantu, serta haiwan lain yang hanya aktif pada waktu malam.
4. Night Walk
Selain night safari, anda juga boleh menyertai night walk bersama pemandu di laluan hutan yang gelap. Dengan hanya berbekalkan lampu suluh, pengalaman berjalan di tengah kegelapan hutan sambil mendengar bunyi-bunyi malam memang cukup mendebarkan dan mengujakan.
5. Dawn Drive

Mulakan pagi anda dengan dawn drive, iaitu aktiviti memandu di sekitar kawasan Tabin pada waktu subuh. Ketika ini, banyak haiwan dan burung keluar mencari makanan.
Anda akan berpeluang menikmati keindahan hutan yang diselubungi kabus pagi dan melihat hidupan liar yang aktif pada awal pagi.
6. Air Terjun Lipad (Lipad Waterfall)
Selepas penat meneroka hutan, anda boleh bersantai di Air Terjun Lipad. Kadang-kadang, selepas hujan lebat, air terjun ini akan membentuk ‘twin falls’ yang sangat cantik.
Anda boleh mandi-manda, berkelah, atau sekadar menikmati suasana damai dikelilingi alam semula jadi.

7. Tabin Rainforest Herbal Foot Soak
Tabin turut menawarkan pengalaman unik rendaman kaki herba. Air panas yang dicampur dengan ramuan herba hutan akan membantu melancarkan peredaran darah, melegakan keletihan kaki dan memberi ketenangan minda. Aktiviti ini sangat sesuai selepas seharian menjelajah hutan.
Info Penting
- Internet dan liputan telefon di resort adalah terhad kerana lokasinya yang terpencil, jadi bersedialah untuk ‘detox digital’ sepanjang berada di sini.
- Semua aktiviti berpandu dikendalikan oleh pemandu berpengalaman yang mengutamakan keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.
- Resort ini sesuai untuk semua peringkat umur tetapi disarankan untuk membawa pakaian dan kasut sesuai untuk aktiviti luar serta kelengkapan peribadi yang mencukupi.
- Tempahan awal sangat digalakkan kerana bilangan chalet terhad dan resort sering penuh terutama musim cuti.
- Pakej penginapan biasanya termasuk pengangkutan dari/ke bandar Lahad Datu, makan minum penuh dan semua aktiviti utama
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari: https://tabinwildlife.com.my/