Kerajaan MADANI memperkenalkan model baharu penajaan JPA yang dikenali sebagai Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) bagi menggantikan model lama, PBU 2016.
Mulai 1 Jun 2025, penajaan kepada pelajar akan lebih berfokus kepada kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah, selaras dengan prinsip Ihsan MADANI dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan negara.
Baca juga: Bantuan Kewangan Khas Sarawak 2025 : Permohonan & Syarat Kelayakan
Siaran Media Jabatan Perkhidmatan Awam
Kerajaan MADANI Perkenalkan Model Baharu Penajaan JPA Berasaskan Merit Akademik bagi Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP)
PUTRAJAYA, 28 April 2025 – Kerajaan MADANI bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap model penajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP). Model baharu ini akan menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 yang sebelum ini berdasarkan merit penempatan berkhidmat. Kini ia diganti dengan Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik), yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2025.
Langkah ini sejajar dengan prinsip Ihsan MADANI yang menekankan pemerkasaan pembangunan modal insan berteraskan kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan warganegara Malaysia yang berkelayakan.
STRUKTUR PBU AKADEMIK
Melalui model baharu ini, pelajar tajaan JPA (kecuali dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi) akan mendapat pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik seperti berikut:
Kriteria | Peratus Bayaran Balik PBU Akademik |
---|---|
PNGK akhir 3.75 – 4.00 atau setara tanpa pelanjutan | 5% |
PNGK akhir 3.50 – 3.74 atau setara tanpa pelanjutan | 10% |
PNGK akhir 3.00 – 3.49 atau setara tanpa pelanjutan | 15% |
PNGK akhir 3.00 dan ke atas atau setara dengan pelanjutan | 20% |
PNGK akhir di bawah 3.00 atau setara atau gagal pengajian | 100% |
DAN/ATAU
Dilantik dalam perkhidmatan awam (setaraf dengan kelayakan) | Dikecualikan bayaran balik atas baki nilai pinjaman. |
PENGECUALIAN KHAS: BIDANG PERUBATAN, PERGIGIAN DAN FARMASI (PPF)
Pelajar dalam bidang PPF akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya:
- Tamat pengajian dengan jayanya; dan
- Memenuhi ikatan kontrak untuk berkhidmat dengan Kerajaan.
Sekiranya pelajar timat tamat pengajian atau gagal memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
PELAKSANAAN DAN OPSYEN
PBU Akademik akan diguna pakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun 2025, kecuali penerima Dermasiswa.
Bagi pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran kepada PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
Pelajar PBU 2016 yang telah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik ,diminta menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun 2025 sehingga proses penukaran opsyen dibuka secara rasmi mulai 1 Januari 2026.
MAKLUMAT LANJUT
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk melalui:
- Portal Penajaan JPA: https://penajaan.jpa.gov.my
- E-mel: pbuakademik@jpa.gov.my
Jabatan Perkhidmatan Awam
Tarikh: 28 April 2025
E-mel: komunikasi@jpa.gov.my
No. Rujukan: JPA.100-9/1/2 Jld.3 (7)


Apa itu PBU Akademik?
PBU Akademik adalah satu model penajaan baharu di bawah Program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP) JPA.
Ia menilai pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan sahsiah sebagai asas pengurangan atau pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan. Langkah ini bertujuan memperkasa modal insan negara yang cemerlang dari sudut ilmu dan peribadi, selaras dengan aspirasi Ihsan MADANI.
Baca juga: Senarai Biasiswa Lepasan SPM, Zakat & Bantuan IPT 2025
Perbezaan Utama Antara PBU 2016 dan PBU Akademik
- PBU 2016: Pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan lokasi atau bidang perkhidmatan selepas tamat pengajian.
- PBU Akademik: Pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan keputusan akademik semasa pengajian.
- Model baharu ini lebih memberi penekanan kepada usaha dan prestasi akademik pelajar berbanding penempatan kerja semata-mata.
Siapa yang Terlibat?
- Semua pelajar tajaan baharu JPA mulai 1 Jun 2025 (kecuali penerima Dermasiswa) akan menggunakan model PBU Akademik.
- Pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016 akan diberi opsyen penukaran secara berperingkat bermula 1 Januari 2026.
- Pelajar yang sudah tamat pengajian dan sedang membuat bayaran balik PBU 2016 perlu menghentikan bayaran balik mulai 1 Jun 2025 sehingga opsyen penukaran dibuka kelak.
Keistimewaan dan Faedah untuk Pelajar
- Pengurangan bayaran balik pinjaman akan diberikan mengikut pencapaian akademik. Semakin cemerlang keputusan, semakin tinggi pengurangan.
- Pelajar dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF) yang berjaya menamatkan pengajian dan berkhidmat dengan kerajaan akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman.
- Ini memberi galakan kepada pelajar untuk lebih fokus kepada akademik serta menghargai peluang penajaan yang diberi oleh kerajaan.
Maklumat Lanjut
Segala maklumat lanjut dan urusan berkaitan PBU Akademik boleh dibuat melalui:
🔗 Portal Penajaan JPA: https://penajaan.jpa.gov.my
📧 E-mel: pbuakademik@jpa.gov.my
Model PBU Akademik adalah refleksi kepada komitmen Kerajaan MADANI dalam menyokong pelajar cemerlang dan membina barisan penjawat awam berilmu, berketerampilan serta beretika.
Ia bukan sahaja membela kebajikan pelajar, tetapi juga menanam nilai kebertanggungjawaban akademik dalam sistem penajaan negara.