Adakah anda penggemar sos Thai? Juga dikenali sebagai Nam Chim Kai dalam bahasa Thai, rasanya yang seimbang masam, pedas dan manis membuatkan ramai orang mencari sos ini setiap kali berkunjung ke kedai tomyam atau restoran makanan laut.
Ia biasanya dihasilkan daripada ramuan seperti cili segar, sos ikan, bawang putih, cuka dan perahan limau.

Kegunaan
Selain sos berwarna merah seakan sos cili, terdapat juga satu lagi sos pencicah Thai berwarna hijau.
Sos cili Thai berwarna merah rasanya lebih manis dan sesuai untuk dimakan bersama keropok dan makanan laut yang digoreng celup tepung.
Sos Thai berwarna hijau pula sesuai lebih masam dan pedas, sesuai untuk hidangan bakar dan rebus seperti kerang rebus, sotong bakar, daging bakar dan sebagainya.

Jenama Sos Cili Thai Yang Popular di Malaysia
Anda juga boleh dapatkan sos Thai dengan mudah di pasaran atau secara online. Ayuh kita semak beberapa jenama yang popular.
1.Maepranom Chili Sauce (Cap Ayam)

Jenama sos Thai ini boleh dikatakan antara yang paling popular di Malaysia. Ia mempunyai rasa pedas, manis dan sedikit masam.
Ramai yang menggunakan sos ini sebagai pencicah keropok, hidangan celup tepung dan kudapan lain seperti nugget dan keropok lekor.
Anda boleh menikmatinya tanpa was-was kerana ia mempunyai sijil halal daripada Thailand.
2. Sos Cili Hijau Thai / Sos Hijau Miang Pla

Sos Thai berwarna hijau ini juga dikenal sebagai Miang Pla Sauce atau Seafood Dipping Sauce.
Ia cukup sesuai untuk dijadikan pencicah bagi hidangan berasaskan makanan laut seperti kerang rebus, ikan bakar, sotong bakar, Vietnamese Roll dan sebagainya.
Ramai yang turut menyukai sos ini kerana perahan limau dan akar ketumbar yang menyegarkan.
Seperti sos cili Thai Cap Ayam, sos Thai hijau ini juga mempunyai sijil halal jadi anda tidak perlu risau untuk nikmatinya.
3. CP Brand Dipping Sauce

Jika anda gemar membeli ole-ole dari Thailand, anda pasti kenali jenama CP yang popular dengan produk makanan ready-to-eat.
Kalau anda nak tahu, jenama CP Thailand turut mengeluarkan produk sos pencicah mereka sendiri. Bersaiz kecil dan sesuai untuk dibawa ke mana-mana, anda wajib cuba yang paling laris iaitu Spicy Seafood Sauce berwarna hijau.
Rasanya segar, tidak terlalu pedas dan mempunyai aroma yang membangkitkan selera.
Resepi Simple Sos Thai Homemade
Jika anda mahukan sos pencicah Thai yang segar, anda boleh cuba untuk buatnya sendiri di rumah.
Jom kita semak 2 resepi ringkas di bawah.
1. Resepi Cili Sos Thai Merah
Bahan-bahan :
-10 tangkai cili hidup
-10 tangkai cili api merah
– 800ml air untuk mengisar
-6 ulas bawang putih
– 3 sudu besar gula kabung Thai
-1 1/2 cawan gula pasir
-3 sudu besar sos ikan
-1 cawan cuka makan
-3 sudu besar tepung ubi kayu atau tepung jagung dan cairkan bersama 1/2 cawan air
Cara-cara :
- Potong kecil cili hidup dan cili api supaya mudah dikisar.
- Kisarkan cili hidup, cilia pi dan bawang putih
- Setelah siap dikisar, masukkan ke dalam periuk untuk dimasak.
- Masukkan gula kabung Thai dan sos ikan.
- Seterusnya, masukkan pula satu sudu gula dan satu sudu cuka makanan.
- Biarkan sos merenah sehingga cili masak sepenuhnya. Ini penting bagi mengelakkan sakit perut.
- Setelah cili masak, masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
- Akhirnya masukkan bancuhan tepung ubi atau tepung jagung dan kacau dengan laju.
- Setelah sos memekat, biarkan ia merenah seketika dan boleh tutup api.
- Sos cili Thai sedia untuk dinikmati.
2. Resepi Sos Pencicah Thai
- 7-8 ulas bawang putih
- Cili padi hijau & merah – jumlahnya bergantung pada kepedasan masing-masing
- Akar pakchi / ketumbar secukupnya
- Daun ketumbar – dihiris atau dicincang halus
- 6-7 biji limau nipis
- 2 ½ sudu makan sos ikan
- Gula dan garam secukupnya – jika perlu
Cara-cara :
- Mula-mula, cincang halus atau tumbuk bawang putih, cili padi dan akar ketumbar dan masukkan kesemuanya ke dalam mangkuk.
- Kemudian, perahkan jus limau nipis dan masukkan sos ikan. Tambahkan sedikit sahaja gula dan garam kerana sos ikan sudah ada bahan perasa.
- Masukkan pula hirisan daun ketumbar dan gaul rata.
- Sekiranya sos pencicah terlalu pekat, anda boleh tambah sedikit air suam.
- Sos pencicah sedia untuk dinikmati.

Memang tak dinafikan sos cili dan pencicah Thai sememangnya mampu membuka selera apabila dihidangkan bersama makanan laut dan kudapan ringkas.
Selain dibeli, anda juga boleh cuba untuk membuatnya di rumah. Selamat mencuba!
Sumber : tasteatlas.com, Facebook Cik Puan Hana, Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Baca Juga : Sos Ikan : Kegunaan dan Jenama Halal Popular di Malaysia