web counter Subsidi Telur Dikurangkan Mulai 1 Mei, Ditamatkan Sepenuhnya Ogos 2025 – Hamara media Fun

Subsidi Telur Dikurangkan Mulai 1 Mei, Ditamatkan Sepenuhnya Ogos 2025

KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN – HALA TUJU SUBSIDI DAN KAWALAN HARGA TELUR AYAM (30 APRIL 2025)

Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI, Kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025. Seterusnya, pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil. Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.

Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian. Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Selain itu, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.

Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah-langkah intervensi berikut:

  • i) Pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
  • ii) Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
  • iii) KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat pro@kpkm.gov.my atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000.

Dikeluarkan oleh: KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN

Baca juga:

About admin